Hukum Ambil Upah Mengajar al-Quran

Wan Ji Wan Hussin

Kadangkala kelihatan di tepi-tepi jalan, ada banner-banner yang mempamerkan iklan kelas pengajian al-Quran. Sudah pasti, kelas-kelas begitu, sesiapa yang mahu masuk, perlu membayar yuran.

Berlaku kekhilafan di kalangan umat Islam tentang hukum mengambil yuran atau dalam bahasa yang lain, mengambil upah mengajar al-Quran.

Ada sebilangan ulama menyatakan bahawa mengambil upah mengajar al-Quran adalah terlarang. Ini kerana, ia termasuk bawah maksud berniaga agama dengan harga yang murah. Ia merupakan sifat orang munafiq yang dicela oleh Allah dalam banyak nas wahyu.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah:16 – Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah.

اُولٰۤىِٕكَ الَّذِيْنَ اشْتَرَوُا الضَّلٰلَةَ بِالْهُدٰىۖ فَمَا رَبِحَتْ تِّجَارَتُهُمْ وَمَا كَانُوْا مُهْتَدِيْنَ

Pendapat yang paling diterima ramai menyatakan, menetapkan bayaran bagi mengajar al-Quran dibenarkan. Ini didasarkan beberapa dalil.

Antaranya adalah seperti berikut;

Satu, dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari bahawa Nabi pernah berkata, “Sesungguhnya perkara yang paling berhak kamu ambil upah adalah dari kitab Allah”.

فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إن أحق ما أخذتم عليه أجراً كتاب الله 

Dua, merujuk kepada kisah Nabi Muhamad saw pernah nikahkan seorang sahabat dengan bermas kahwinkan hafazan al-Quran, walhal asal mas kahwin itu adalah harta.

فقال له النبي صلى الله عليه وسلم: هل معك من القرآن شيء؟ قال: نعم، سورة كذا وكذا يسميها، فقال النبي صلى الله عليه وسلم: قد زوجتكما بما معك من القرآن

Tiga, berkaitan dengan tawanan perang badar. Iaitu, Nabi saw bersetuju dengan pandangan Abu Bakar al-Siddiq agar yang kaya dibayar tebus, sedangkan yang pandai bahawa mengajar kepada orang islam yang tidak pandai membaca dan menulis.

Jika bayaran tebus tawanan setara dengan mengajar, sudah pasti memberi bayaran atau yuran untuk mengajar al-Quran dibenarkan.

Dari hujah ini, nyata bahawa mengambil upah atau yuran untuk mengajar al-Quran tidak dilarang.

Adapun hujah yang melarang dengan merujuk kepada ayat 16 dari surah al-Baqarah, ia adalah sandaran yang kurang tepat, kerana ayat ini merujuk kepada tindakan ahli kitab yang sanggup menyelewengkan kebenaran semata-mata habuan dunia. Dengan maksud, jika tidak mendatangkan maksud penyelewengan terhadap wahyu, maka ia tidak terlarang.

Ia sama seperti apa yang pernah diungkap oleh Nabi saw bahawa baginda saw berkata, “barangsiapa yang belajar ilmu yang diredhai oleh Allah, namun dia tidak belajar kecuali mahukan habuan dunia, dia tidak akan mendapat bauan syurga”.

Wallahu alam

Banner 7

rawatan bekam









Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.