Kaedah Tafsir al-Quran

Berikut adalah sumber-sumber Tafsir Al-Quran dengan kaedah bi al-Ma’thur. 

1)  Tafsir Al-Quran dengan al-Quran

Sebaik-baik cara pentafsiran hendaklah mentafsirkan Al-Quran dengan Al-Quran, kerana perkara yang dijelaskan secara mujmal pada satu ayat diperincikan di ayat yang lain.

Sehubungan itu Ibn Kathir berkata:“Sekiranya ada orang bertanya, apakah jalan terbaik mentafsir, maka jawapannya ialah Al-Quran itu sendiri.”

Pentafsiran Al-Quran dengan Al-Quran dapat dilihat dari pelbagai sudut antaranya:

a)  Pentafsiran terhadap ayat-ayat yang ringkas.

b)  Pentafsiran secara yang lebih jelas terhadap ayat yang berbentuk “mujmal” yang tidak jelas/yang tersembunyi. Ayat yang mujmal dihuraikan lagi dengan ayat-ayat lain.

Sebagai contoh kisah nabi Adam a.s dan Iblis yang dilaknat disebut secara mujmal dalam ayat 50 surah al-Kahf:

وَاِذْ قُلْنَا لِلْمَلٰۤىِٕكَةِ اسْجُدُوْا لِاٰدَمَ فَسَجَدُوْٓا اِلَّآ اِبْلِيْسَۗ كَانَ مِنَ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ اَمْرِ رَبِّهٖۗ اَفَتَتَّخِذُوْنَهٗ وَذُرِّيَّتَهٗٓ اَوْلِيَاۤءَ مِنْ دُوْنِيْ وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّۗ بِئْسَ لِلظّٰلِمِيْنَ بَدَلًا

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu.

Sujud di sini berarti menghormati dan memuliakan Adam, bukanlah berarti sujud memperhambakan diri, kerana sujud memperhambakan diri itu hanyalah semata-mata kepada Allah.

Ayat ini ada dihuraikan ditempat yang lain iaitu:

(i)  Surah al-Baqarah ayat 30-39
(ii) Surah al-Araf ayat 11-27
(ii) Surah al-Hijr ayat 36-50
(iv) Surah al-Isra’ayat 61-65
(v) Surah Sad ayat 67-85

Contoh yang lain pula seperti di dalam surah al-Fatihah ayat yang ketujuh:

صِرَاطَ الَّذِيْنَ اَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ 

Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka

Dalam ayat ini golongan yang dikurniakan oleh Allah dengan nikmat Iman disebut secara mujmal dijelaskan pula dalam ayat 69 surah al-Nisa’.

وَمَنْ يُّطِعِ اللّٰهَ وَالرَّسُوْلَ فَاُولٰۤىِٕكَ مَعَ الَّذِيْنَ اَنْعَمَ اللّٰهُ عَلَيْهِمْ مِّنَ النَّبِيّٖنَ وَالصِّدِّيْقِيْنَ وَالشُّهَدَاۤءِ وَالصّٰلِحِيْنَ ۚ وَحَسُنَ اُولٰۤىِٕكَ رَفِيْقًا

Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).

c)  Pentafsiran dengan mengkhususkan ayat-ayat yang umum.

Di dalam Al-Quran juga terdapat ayat-ayat yang maksudnya umum kerana lafaznya menunjukkan kepada makna yang umum sedangkan di dalam ayat yang lain terdapat ayat yang mengkhususkan makna umum yang terdapat dalam ayat tersebut. Memahami ayat dengan makna yang umum tanpa merujuk kepada ayat-ayat yang lain akan menyebabkan fahaman yang salah tentang ayat.

Contoh ayat yang umum ialah firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 228:

وَالْمُطَلَّقٰتُ يَتَرَبَّصْنَ بِاَنْفُسِهِنَّ ثَلٰثَةَ قُرُوْۤءٍۗ 

Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid).

Kata المطلقات adalah kata nama plural yang menjadi makrifah dengan alif dan lam, zahir ayat menunjukkan setiap wanita yang dicerai hendaklah menunggu iddah mereka selama tiga kali suci tetapi hukum ini dikhususkan dengan ayat yang lain.

Contoh ayat yang mengkhususkan hukum yang umum ini ialah: Firman Allah SWT dalam surah Al Ahzab ayat 49:

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْٓا اِذَا نَكَحْتُمُ الْمُؤْمِنٰتِ ثُمَّ طَلَّقْتُمُوْهُنَّ مِنْ قَبْلِ اَنْ تَمَسُّوْهُنَّ فَمَا لَكُمْ عَلَيْهِنَّ مِنْ عِدَّةٍ تَعْتَدُّوْنَهَاۚ فَمَتِّعُوْهُنَّ وَسَرِّحُوْهُنَّ سَرَاحًا جَمِيْلًا

Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang idah yang kamu boleh hitungkan masanya. Oleh itu, berilah “mut’ah” (pemberian sagu hati) kepada mereka, dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.

Apa yang dimaksud dengan mut’ah di sini adalah pemberian untuk menyenangkan hati isteri yang diceraikan sebelum dicampuri. Ayat ini mengkhususkan hukum iddah bagi isteri yang ditalak tetapi belum disetubuhi maka tidak ada iddah baginya. Hukum iddah yang umum dalam surah al-Baqarah bagi wanita yang ditalak dikhususkan dengan ayat-ayat yang lain bagi wanita yang ditalak dari kalangan yang belum disetubuhi, yang menopause atau belum baligh dan yang sedang mengandung.

d) Pentafsiran melalui ketentuan ikatan (muqayyad) terhadap suatu ayat yang mutlak.

Terdapat beberapa ayat dalam Al-Quran yang menyebut hukum secara mutlak (tidak terikat) kemudian terdapat di sana ayat mengikat (muqayyad) ayat yang mutlak maka hukum yang muqayyad hendaklah diambil.

Contohnya hukum saksi. Hukum saksi disebut secara mutlak dalam dua ayat.

Pertama berkaitan saksi dalam urusan jual beli melibatkan hutang-piutang, sewa menyewa dan sebagainya . Firman Allah Taala dalam surah al-Baqarah ayat 282:

وَاسْتَشْهِدُوْا شَهِيْدَيْنِ مِنْ رِّجَالِكُمْۚ فَاِنْ لَّمْ يَكُوْنَا رَجُلَيْنِ فَرَجُلٌ وَّامْرَاَتٰنِ مِمَّنْ تَرْضَوْنَ مِنَ الشُّهَدَۤاءِ اَنْ تَضِلَّ اِحْدٰىهُمَا فَتُذَكِّرَ اِحْدٰىهُمَا الْاُخْرٰىۗ وَلَا يَأْبَ الشُّهَدَۤاءُ اِذَا مَا دُعُوْا ۗ وَلَا تَسْـَٔمُوْٓا اَنْ تَكْتُبُوْهُ صَغِيْرًا اَوْ كَبِيْرًا اِلٰٓى اَجَلِهٖۗ ذٰلِكُمْ اَقْسَطُ عِنْدَ اللّٰهِ وَاَقْوَمُ لِلشَّهَادَةِ وَاَدْنٰىٓ اَلَّا تَرْتَابُوْٓا اِلَّآ اَنْ تَكُوْنَ تِجَارَةً حَاضِرَةً تُدِيْرُوْنَهَا بَيْنَكُمْ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ اَلَّا تَكْتُبُوْهَاۗ

dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya.

Ayat ini menyebut tentang perintah membawa saksi dalam urusan jual beli. Saksi dalam ayat ini disebut secara terbuka tanpa mengira keadaan saksi itu Islam atau kafir, orang yang baik atau fasiq, kanak-kanak atau orang tua, lelaki atau wanita.

Kedua berkaitan saksi ketika mengembalikan harta anak yatim. Firman Allah Taala dalam surah an nisa’ ayat 6:

 فَاِذَا دَفَعْتُمْ اِلَيْهِمْ اَمْوَالَهُمْ فَاَشْهِدُوْا عَلَيْهِمْ ۗ وَكَفٰى بِاللّٰهِ حَسِيْبًا

Kemudian apabila kamu menyerahkan kepada mereka hartanya, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi (yang menyaksikan penerimaan) mereka. Dan cukuplah Allah sebagai Pengawas (akan segala yang kamu lakukan).

Ayat ini menjelaskan perintah membawa saksi semasa menyerahkan kembali anak yatim tetapi saksi dalam ayat ini adalah mutlak seperti ayat yang sebelum ini. Ayat yang mutlak ini ditaqyidkan (diikat) dengan saksi bagi wanita yang dirujuk selepas di cerai dan saksi bagi kes wasiat.

Hukum saksi bagi wanita yang dirujuk disebut dalam surah At Talaq ayat 2:

فَاِذَا بَلَغْنَ اَجَلَهُنَّ فَاَمْسِكُوْهُنَّ بِمَعْرُوْفٍ اَوْ فَارِقُوْهُنَّ بِمَعْرُوْفٍ وَّاَشْهِدُوْا ذَوَيْ عَدْلٍ مِّنْكُمْ وَاَقِيْمُوا الشَّهَادَةَ لِلّٰهِ

Kemudian, apabila mereka (hampir) habis tempoh idahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara yang baik; dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau melepaskannya); dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata.

Ayat surah al-Talak ini mengikat saksi dengan tiga ikatan iaitu dua orang saksi yang bersifat adil dari kalangan orang Islam.

Hukum yang sama disebut tentang saksi dalam urusan wasiat dalam surah Al-Maaidah ayat 106:

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا شَهَادَةُ بَيْنِكُمْ اِذَا حَضَرَ اَحَدَكُمُ الْمَوْتُ حِيْنَ الْوَصِيَّةِ اثْنٰنِ ذَوَا عَدْلٍ مِّنْكُمْ اَوْ اٰخَرٰنِ مِنْ غَيْرِكُمْ اِنْ اَنْتُمْ ضَرَبْتُمْ فِى الْاَرْضِ فَاَصَابَتْكُمْ مُّصِيْبَةُ الْمَوْتِۗ

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila salah seorang di antara kamu hampir mati, ketika (ia mahu) berwasiat, hendaklah wasiatnya itu disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu, atau dua orang lain (yang bukan seagama) dengan kamu, jika kamu dalam pelayaran di muka bumi lalu kamu ditimpa bencana sakit yang membawa maut. 

Mengambil orang lain yang tidak seagama dengan kamu sebagai saksi dibolehkan, bila tidak ada orang Islam yang akan dijadikan saksi.

Menurut Imam al-Syafie kesaksian yang mutlak dalam hukum jual beli dan penyerahan harta anak yatim diikat dengan kesaksian berkaitan hukum rujuk dan hukum wasiat, maka saksi dalam urusan jual beli dan penyerahan harta anak yatim hendaklah terdiri dari dua orang saksi yang bersifat adil dari kalangan orang Islam.


2)  Tafsir Al-Quran dengan hadith Rasulullah SAW

Tafsir Al-Quran dengan hadith Rasulullah SAW merupakan cara yang kedua mentafsirkan Al-Quran sekiranya pentafsir tidak mendapat pentafsirannya dari ayat yang lain.

Imam al-Safie menyebutkan: Segala apa yang diberikan hukumnya oleh Rasul saw, maka itu adalah apa yang baginda fahami daripada al-Quran. 

Firman Allah dalam (Surah al-Nisa 105)

اِنَّآ اَنْزَلْنَآ اِلَيْكَ الْكِتٰبَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَآ اَرٰىكَ اللّٰهُ ۗوَلَا تَكُنْ لِّلْخَاۤىِٕنِيْنَ خَصِيْمًا

Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.

Ayat Ini dan beberapa ayat berikutnya diturunkan berhubungan dengan pencurian yang dilakukan Thu’mah dan ia menyembunyikan barang curian itu di rumah seorang Yahudi. Thu’mah tidak mengakui perbuatannya itu malah menuduh bahawa yang mencuri barang itu adalah orang Yahudi. Perkara ini diajukan oleh kerabat-kerabat Thu’mah kepada nabi SAW dan mereka meminta agar nabi membela Thu’mah dan menghukum orang-orang Yahudi, sekalipun mereka tahu bahawa yang mencuri barang itu ialah Thu’mah, nabi sendiri hampir-hampir membenarkan tuduhan Thu’mah dan kerabatnya itu terhadap orang Yahudi.

Mencari tafsiran daripada hadith adalah berasaskan kepada sabda Rasullullah SAW kepada Muaz bin Jabal ketika baginda mengutus beliau ke Yaman.

عن معاذ أن رسول الله صلى الله عليه وسلم لما بعثه إلى اليمن قال : كيف تصنع إن عرض لك قضاء ؟ قال : أقضي بما في كتاب الله ، قال : فإن لم يكن في كتاب الله ؟ قال : فبسنة رسول الله صلى الله عليه وسلم ، قال : فإن لم يكن في سنة رسول الله صلى الله عليه وسلم ؟ قال : أجتهد رأيي لا آلو ، قال : فضرب رسول الله صلى الله عليه وسلم صدري ثم قال : الحمد لله الذي وفق رسول رسول الله لما يرضي رسول الله صلى الله عليه وسلم 

Baginda bertanya kepada Muaz: “Dengan apa engkau berhukum? Jawabnya dengan kitab Allah?” Sabda baginda: “ Jika engkau tidak menjumpainya (dalam al-Quran)?” Jawab Muaz: “Dengan sunnah Rasulullah saw,” Sabda baginda: “ Jika engkau tidak juga menjumpainya?” Jawab Muaz: “ Aku berijtihad dengan pendapatku.” Maka rasulullah saw menepuk dada Muaz dan bersabda: “ Segala puji dan puja hanya bagi Allah yang telah memberikan taufik kepada utusan Rasulullah dalam perkara yang diredai oleh Rasulullah.”

Pentafsiran hadith kepada Al-Quran dapat dilihat dalam beberapa bentuk iaitu

i)  Hadith mentafsirkan terhadap ayat-ayat Al-Quran yang mujmal. Beberapa perintah dan kewajipan di dalam Al-Quran disebutkan dalam bentuk mujmal tanpa diterangkan cara-cara, syarat-syarat dan rukunnya, maka sunnah berfungsi menerangkan hukum Al-Quran yang mujmal itu.

Sebagai contoh tentang ibadat solat yang wajib ditunaikan mengikut waktunya disebut secara mujmal dalam surah An-Nisa’ ayat 103:

اِنَّ الصَّلٰوةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِيْنَ كِتٰبًا مَّوْقُوْتًا

Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.

Sunnah berupa kata-kata dan perbuatan berfungsi menjelaskan hukum Al-Quran yang bersifat umum. Daripada hadith kita dapat mengetahui waktu solat, bilangan rakaat, rukun-rukun solat, perkara-perkara sunat, makruh dan membatalkan solat. Sekiranya kita tidak mentafsirkan Al-Quran dengan sunnah dari segi perkataan dan perbuatan maka kita tidak dapat menunaikan rukun Islam solat, puasa, zakat dan haji.

ii)  Hadith mengkhususkan terhadap sesuatu ayat yang umum

Contohnya dalam firman Allah dalam surah Al An’am ayat 82 :

اَلَّذِيْنَ اٰمَنُوْا وَلَمْ يَلْبِسُوْٓا اِيْمَانَهُمْ بِظُلْمٍ اُولٰۤىِٕكَ لَهُمُ الْاَمْنُ وَهُمْ مُّهْتَدُوْنَ

Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

Perkataan Zulm (kezaliman) dalam ayat ini pada asasnya umum. Semasa turunnya ayat ini para sahabat memahami zalim dalam ayat ini mengikut makna yang umum iaitu apa jua bentuk dosa dan maksiat sedangkan para sahabat juga tidak maksum, ketika itu mereka bertanya kepada Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Imam Muslim dan Imam al-Thirmidhi daripada Ibnu Masud berkata:

Apabila turunnya ayat ini: Para sahabat menjadi kelam-kabut dan mereka berkata kepada Rasulullah saw:“Siapakah dikalangan kami yang tidak pernah melakukan kezaliman?” Lalu nabi saw memberi penjelasan, Bukan ini yang dimaksudkan ayat.

Tidakkah kamu mendengar pesanan Luqman kepada anaknya:

وَاِذْ قَالَ لُقْمٰنُ لِابْنِهٖ وَهُوَ يَعِظُهٗ يٰبُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللّٰهِ ۗاِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيْمٌ

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”.

Surah Luqman ayat 13. Kezaliman yang dimaksudkan dalam ayat tersebut ialah perbuatan syirik. (Riwayat Imam al-Bukhari,no.34, riwayat Imam Muslim,no.124 dan Imam al-Thirmidhi , no.3067


3) Tafsir Al-Quran dengan perkataan para sahabat

Tafsir sahabat adalah antara tafsir yang patut diterima dan dijadikan pegangan kerana mereka menerima ilmu secara langsung dari Rasulullah saw.

Para sahabat menyaksikan wahyu, mengetahui asbab al-Nuzul dan memiliki kemampuan dalam memahami Al-Quran (Ibn Taymiyyah)

Namun tafsir para sahabat diterima menjadi pegangan dalam tafsir Al-Quran perlulah memenuhi kriteria berikut:

a) Sanadnya baik dan tidak terputus
b) Perawinya bersifat adil dan mempunyai hafalan yang baik
c) Riwayat tidak bertentangan dengan athar sahabat lain yang lebih kuat
d) Riwayat tidak bertentangan dengan hadith nabi yang sahih
e) Tidak bertentangan dengan al-Quran


4) Tafsir Al-Quran dengan Pandangan Tabiin


Para ulama berselisih pandangan berhubung tafsir Al-Quran dengan pandangan Tabiin adakah ianya termasuk dalam tafsir bi al-Ma’thur atau tidak?

Pandangan yang kuat ialah tabiin termasuk dalam tafsir bi al-Ma’thur kerana mereka adalah murid kepada para sahabat.

Banner 7

rawatan bekam









Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.